MEET AND GREET @ FBKT

Semester baru bagi Universiti Malaysia Kelantan akan bermula pada bulan Oktober 2021 iaitu Sesi September 2021/2022. UMK bakal menerima pelajar-pelajar baru bagi semester yang akan datang ini. Bagi mempromosikan program-program ijazah yang ditawarkan di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), pihak FBKT telah mengambil inisiatif dengan mengadakan aktiviti promosi secara atas talian bagi menyampaikan info-info penting kepada bakal-bakal pelajar baru ini. Program ini amat bersesuaian bagi para pelajar yang masih ragu akan hala tuju untuk melanjutkan pengajian dan tercari-cari peluang yang sesuai bagi mendapatkan ijazah pertama mereka.

Pada 10 Ogos 2021, satu sesi promosi yang bersifat bual bicara santai yang dinamakan Meet and Greet @ FBKT, Siri 2 telah diadakan secara atas talian. Program ini disasarkan kepada para pelajar lepasan diploma yang berminat untuk menyambung ijazah pertama mereka di FBKT dalam bidang-bidang yang ditawarkan di fakulti ini. Dekan FBKT iaitu Prof. Madya Dr. Noor Azlina binti Ibrahim telah dijemput khas bagi menjadi panel program bersama Dr. Nurul Akmar Binti Che Zaudin, pensyarah kanan di FBKT, sebagai moderator program. Sesi bicara santai ini telah berjaya menarik seramai 40 orang pelajar lepasan diploma untuk menyertai siaran langsung Meet and Greet @ FBKT melalui aplikasi Google Meet.

Program telah dimulakan dengan kata-kata aluan daripada moderator serta tayangan video promosi daripada FBKT. Dekan FBKT seterusnya memulakan sesi bual bicara dengan memperkenalkan UMK Kampus Jeli, yang menempatkan bangunan FBKT kepada peserta program. Prof. Madya Dr. Noor Azlina turut menerangkan tentang program-program yang ditawarkan dan prospek kerjaya graduan FBKT. Video perkongsiaan pandangan dan pengalaman daripada para pelajar dan alumni FBKT turut ditayangkan semasa sesi bual bicara ini. Peluang mendapat perpindahan kredit merupakan tarikan utama bagi para pelajar lepasan diploma. Mereka mempunyai peluang yang tinggi untuk bergraduat lebih awal apabila perpindahan kredit ketika diploma dapat dilakukan ketika menyambung pengajian ijazah pertama di FBKT nanti. Program berakhir dengan sesi soal jawab peserta bersama panel dan moderator program.

Promosi merupakan satu langkah penting yang perlu dilakukan oleh semua pusat pengajian tinggi bagi memastikan bakal pelajar mendapat penerangan yang jelas dan tepat berkenaan universiti dan program-program yang ditawarkan. Antara kelebihan Meet and Greet @ FBKT yang dijalankan secara  video persidangan atas talian ini, pelajar dapat bertanya apa jua soalan dan akan dijawab secara lansung oleh pihak universiti. Pelajar boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Instagram FBKT untuk maklumat-maklumat lanjut dan terbaru berkenaan FBKT dan UMK.

Oleh,

Nurul Akmar Che Zaudin